Argentina – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa bukan sahaja memerangkap gadis-gadis naif untuk dijadikan sebagai keldai dadah sebaliknya mereka yang terpelajar juga turut termakan dengan pujukan berkenaan.
Antara mangsa tersebut termasuklah seorang saintis lulusan Universiti Oxford, Paul Frampton.
Dia yang merupakan pensyarah di sebuah universiti, kini terpaksa merengkok di dalam lokap sejak awal tahun ini selepas ditangkap membawa dua kilogram dadah dalam beg bimbitnya ketika mahu menaiki pesawat menuju ke Peru di Buenos Aires.
Namun, Frampton mendakwa, dia menjadi mangsa kepada sindiket dadah yang memerangkap mangsa melalui model cantik dan seksi di internet.
Dia mendakwa menjadi umpan kepada sindiket yang menyamar sebagai model berusia 32 tahun kelahiran Czech, Denise Milani yang kini menetap di Amerika Syarikat.
Milani pernah menjulang gelaran Miss Bikini World pada 2007.
Bagaimanapun, Frampton akhirnya sedar bahawa dia hanya dijadikan umpan oleh mafia dari Amerika Selatan ini untuk membawa beg berisi dadah selepas ditangkap.
Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara selama 16 tahun di Argentina.
Pada masa ini, rakan-rakannya sedang bergelut untuk membebaskan saintis tersebut dengan ikat jamin.
Ketika menceritakan pengalamannya itu, Frampton, penipuan yang dilakukan oleh sindiket dadah tersebut begitu terancang sehinggakan dia termakan dengan pujuk rayu mereka.
Menyangka rakan siber itu adalah Milani, dia telah terpedaya untuk ke Argentina dan memulakan kehidupan baru dengan model tersebut.
“Selama 11 minggu saya percaya bahawa saya telah bertemu dengan seorang wanita yang menarik untuk mengisi kekosongan hidup,’’ kata duda tersebut.
Frampton mendakwa dia diberikan beg bimbit berkenaan ketika menginap di sebuah hotel di Buenos Aires oleh seorang lelaki yang mendakwa beg berkenaan milik model tersebut.
“Walaupun saya bercadang untuk membawa beg bimbit itu ke Brussels untuk menghadiri satu persidangan, namun rakan-rakan berjaya memujuk saya melupakan wanita itu selepas 36 jam saya menunggunya di lapangan terbang,’’ katanya dalam satu temu bual dengan akhbar tempatan.
Model tersebut bagaimanapun tidak terlibat dalam plot tersebut dan namanya hanya digunakan oleh sindiket dadah tersebut.