Menerusi laporan mStar Online, Farid Kamil mendedahkan dia terpaksa merahsiakan nama serta identiti lain anaknya disebabkan terikat kontrak untuk sebuah rancangan terbitan stesen televisyen Astro. Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, berkata, dia diarahkan oleh stesen televisyen itu agar berbuat demikian kerana pihak berkenaan mempunyai perancangan khas untuk memperkenalkan bayinya kepada umum.
“Sebenarnya bukan saya tidak mahu memperkenalkan anak saya kepada umum tetapi terikat dengan kontrak untuk sebuah program eksklusif di Astro yang berhasrat memperkenalkan anak saya dalam sebuah rancangan khas. Bagaimanapun saya belum pasti bila program itu bakal diadakan kerana ia masih dalam perbincangan di antara pihak pengurusan saya dengan stesen TV berkenaan,” katanya dalam laporan berkenaan.
Farid berkata, pada majlis itu nanti dia ingin mengadakan majlis aqiqah dan khatam Al-Quran oleh isterinya dan tidak akan mengadakan majlis potong jambul seperti kebiasaan. Beliau juga berkata, majlis itu akan diadakan di kampung halamannya, Alor Setar, Kedah.
Dalam pada itu, Farid turut memberitahu, isterinya telah kembali ke tanah air pada akhir Ramadan lalu dan kini sedang menghabiskan tempoh pantangnya selama 100 hari di Alor Setar. Kata Farid, Diana kini sudah semakin pulih selain tidak kekok menjaga anak mereka.
Anak sulung hasil perkongsian hidupnya dengan aktres Diana Danielle itu dilahirkan pada 2 Julai lalu di sebuah hospital di Sydney, Australia. Pasangan itu melangsungkan pernikahan pada 3 November tahun lalu dalam sebuah upacara ringkas di Hotel Flamingo by The Lake, Ampang, dekat sini.
Dibawah foto yang pernah dimuat naik oleh Farid Kamil dan Diana Danielle menerusi Instagram. Selain itu, belum ada lagi foto-foto terkini yang lain.