Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohammed berkata, tiada lagi pengorbanan paling berharga selain daripada pengorbanan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.
"Inilah sumbangan terbesar seorang rakyat kerana dapat berkhidmat kepada negara tercinta. Dengan gugurnya perwira-perwira ini, menaikkan lagi semangat kita untuk berkorban apa sahaja demi negara.
"Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham dan perwira-perwira lain yang telah gugur sebelum ini," katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, di Kampung Bayu Lalang di sini malam tadi.
Ahmad Hurairah daripada Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) gugur dalam pertempuran menentang pengganas Sulu di Sungai Nyamuk, Lahad Datu pagi ini.
Mustapa turut memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Pusat kepada Ismail Husin, 55, iaitu bapa kepada Allahyarham Hurairah. - UTUSAN