LIVERPOOL: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap penyokong mereka bersabar dengan pemain baru Lukas Podolski dan Olivier Giroud ketika mereka cuba mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robin van Persie.
Dua perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan dengan Stoke dan Sunderland memberikan permulaan hambar buat skuad Wenger yang sekali lagi cuba mengatasi kehilangan seorang pemain bintang pada awal kempen Liga Perdana Inggeris.
Jaringan Van Persie memastikan Arsenal menduduki tempat ketiga dan perpindahannya ke Manchester United, dianggap menjejaskan keseimbangan pasukan Wenger.
Wenger mahu kedua-dua penyerang dari Jerman dan Perancis itu menjaringkan gol tapi sedar mereka perlukan masa untuk memenuhi kehendak Liga Perdana Inggeris.
Beliau yang kehilangan Cesc Fabregas dan Samir Nasri musim lalu percaya masih terlalu awal untuk memberi tekanan terhadap penyerang baru, mengambil contoh Thierry Henry dan Robert Pires yang turut mengambil masa untuk menyesuaikan diri sebelum menjadi legenda kelab itu.
Biarpun Wenger tidak mahu terlalu cepat mengadili pemain barunya, dia mengaku perasaannya bercampur baur terhadap pasukannya.
“Kami sudah biasa menjaringkan gol dan kami tidak boleh katakan kami tidak bimbang jika tidak melakukannya,” katanya.
“Sebaliknya, ada ketikanya kami gagal menjaringkan gol meskipun kami sedar berpeluang melakukannya.
“Itulah sebabnya Liverpool adalah ujian yang bagus buat kami kerana ia adalah pasukan yang mempunyai serangan dan pertahanan yang mantap.” Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers berharap suasana di Arsenal kembali pulih dan menjangkakan Arsenal mampu kembali dalam kelompok empat pasukan terbaik biarpun berdepan pasukan yang berbelanja besar seperti Chelsea dan Tottenham.
“Kedudukan mereka sebagai empat pasukan teratas tidak akan terjejas,” kata Rodgers. “Mereka konsisten dalam empat pasukan terbaik sejak 15 tahun lalu tetapi saya fikir persaingan di puncak bagi musim ini lebih sengit.” - AFP