Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek yang dipercayai seorang penagih dadah, dikatakan telah memecah masuk asrama itu dan mencuri telefon bimbit serta sebuah beg, tetapi disedari oleh sekumpulan pelajar yang kemudiannya bergelut dengan lelaki tersebut bagi menangkapnya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pergelutan antara kumpulan pelajar berusia awal 20-an dengan suspek, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman serta patah tulang rusuk kiri.
Beliau berkata suspek yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar bagi mendapatkan rawatan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang.
“Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut dibuat oleh pelajar terbabit dan kini masih menunggu laporan hasil bedah siasat terhadap suspek,” katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.
Adzaman berkata berdasarkan rekod, suspek mempunyai empat kes jenayah lampau iaitu pada tahun 2006 termasuk satu kes curi dalam kediaman.
Katanya setakat ini polis belum menahan mana-mana pelajar bagi memberi keterangan sehingga keputusan hasil bedah siasat ke atas suspek diperoleh.