Tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa terlibat mempersendakan pemimpin negara dan Raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu enggan menjawab secara jelas atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka terlibat dalam insiden itu.
Azmin Ali dan Tian Chua dari PKR serta Khalid Samad dari Pas sebaliknya mempersoalkan kesahihan dakwaan serta kredibiliti Dr Rahman Kadir, seorang pegawai perubatan yang mendedahkan mengenai kejadian pada hari Rabu lalu itu.
Malah, Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR seperti biasa terus menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya bertanggungjawab dalam menyebarkan perkara berkenaan.
"Pertama saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat oleh mereka namun daripada maklum balas yang saya terima, ini jelas satu propaganda yang amat jelik oleh Umno dan BN.
"Siapa doktor ini? Bagaimana pegawai perubatan boleh duduk dalam Balairong Seri Istana Negara?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Rahman melalui akaun Facebook mendakwa Azmin, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled terlibat dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu.
Source:Pilihan anda