News Update :
Kreviewed Article»
Bagikan kepada teman!
Home » , » SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM 2012/2013

SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM 2012/2013

Penulis : Unknown on Sunday, 25 March 2012 | 03:16

 
Selaras dengan Program Transformasi Pendidikan, mulai tahun 2012, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) melaksanakan sistem pentaksiran baharu STPM bagi memperkasakan program pendidikan di tingkatan enam.

Peperiksaan STPM yang sedia ada dikendalikan berdasarkan kepada tempoh pengajian tingkatan enam selama 1½ tahun. Tempoh pengajian ini terdiri daripada tingkatan enam bawah yang meliputi penggal kedua tempoh persekolahan, dan tingkatan enam atas yang meliputi penggal pertama dan penggal kedua tempoh persekolahan. Peperiksaan bagi pengajian tingkatan enam adalah untuk mengukur dan menilai pencapaian pelajar yang dilaksanakan keseluruhannya melalui peperiksaan STPM pada penghujung pengajian, iaitu pada bulan November hingga Disember.

Pada tahun 2012, sistem peperiksaan STPM akan dijalankan dalam dua mod. Mod pertama ialah sistem peperiksaan STPM sedia ada bagi pelajar yang sedang mengikuti tingkatan enam atas pada tahun 2012. Pelajar ini merupakan kohort terakhir yang akan menamatkan sistem peperiksaan STPM sedia ada. Mod kedua ialah bagi pelajar tingkatan enam bawah pada tahun 2012, mereka merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baharu STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal 1 persekolahan tingkatan enam pada November 2012 dan juga buat pertama kalinya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan kepada 19 mata pelajaran tingkatan enam. Sistem pentaksiran baharu STPM ini adalah cetusan idea yang amat bermakna oleh mantan Ketua Eksekutif MPM, Tuan Haji Omar bin Abu Bakar (2005-2011).

Dalam sistem pentaksiran baharu STPM, tempoh pengajian tingkatan enam adalah sama dengan tempoh persekolahan mengikut kalendar persekolahan yang dilaksanakan pada masa ini. Peruntukan waktu pengajaran juga adalah sama seperti jadual waktu persekolahan yang sedia ada bagi tingkatan enam, iaitu lapan (8) waktu seminggu bagi setiap mata pelajaran (1 waktu pengajaran = 40 minit). Oleh itu, sistem pentaksiran baharu STPM ini tidak menganggu dan tidak mengubah sistem persekolahan sedia ada.
Dari segi penawaran bilangan mata pelajaran juga tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran yang ditawarkan seperti yang berikut:
Bil. Kod Mata Pelajaran Bil. Kod Mata Pelajaran
1 900 Pengajian Am 13 946 Pengajian Perniagaan
2 910 Bahasa Melayu 14 948 Perakaunan
3 911 Bahasa Cina 15 950 Mathematics (M)
4 912 Bahasa Tamil 16 954 Mathematics (T)
5 913 Bahasa Arab 17 956 Further Mathematics
6 920 Literature in English 18 958 Information and Communications Technology
7 922 Kesusasteraan Melayu Komunikatif 19 960 Physics
8 930 Syariah 20 962 Chemistry
9 931 Usuluddin 21 964 Biology
10 940 Sejarah 22 966 Sains Sukan
11 942 Geografi 23 970 Seni Visual
12 944 Ekonomi

Dari segi kandungan pengajian dalam sistem ini, kandungan pengajiannya dibahagikan kepada tiga bahagian kurikulum berdasarkan kelompok tajuk atau mengikut kesesuaian bidang kajian disiplin berkenaan untuk mengisi tiga penggal, iaitu Penggal 1, Penggal 2, dan Penggal 3 dalam tempoh pengajian selama 1½ tahun. Pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.

Aspek kemahiran insaniah (soft skills) akan diterapkan dalam kurikulum sistem ini, yang antaranya meliputi kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepemimpinan, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengurusan maklumat, etika, dan lain-lain.

Dalam aspek pentaksiran pula, dua kaedah pentaksiran akan dijalankan, iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20% hingga 40%, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60% hingga 80%. (Peratusan wajaran berbeza mengikut mata pelajaran).

PBS merupakan kerja kursus yang terdiri daripada kerja amali, kerja lapangan/kajian luar, dan kerja projek/tugasan. Soalan/tugasan kerja kursus akan disediakan oleh MPM. Kerja kursus akan dilaksanakan sama ada pada setiap penggal atau pada penggal tertentu sahaja mengikut keperluan mata pelajaran. Pemeriksaan PBS akan dibuat oleh guru mata pelajaran sendiri bagi sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala pemantauan dan penyelarasan PBS akan dikendalikan oleh MPM sama ada di peringkat zon atau peringkat pusat. Bagi sekolah swasta dan calon persendirian, pemeriksa PBSnya akan dilantik oleh MPM. MPM juga akan menyediakan Garis Panduan PBS bagi setiap mata pelajaran untuk memberi panduan dan rujukan kepada semua yang terlibat dalam pengendalian PBS demi jaminan kualitinya.

Peperiksaan akhir berpusat akan ditadbirkan pada hujung setiap penggal. Kertas peperiksaan akan disediakan dan dibekalkan oleh MPM dan pemeriksaan skrip jawapan akan dijalankan oleh pemeriksa yang dilantik oleh MPM seperti amalan sekarang.

Sistem penggredan dalam sistem pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan sistem yang sedia ada. Skor (peringkat kertas peperiksaan atau komponen mata pelajaran) yang diperoleh oleh pelajar dalam setiap penggal akan dijumlahkan untuk menentukan gred keseluruhan mata pelajaran. Tiada prasyarat kelulusan gred minimum dalam sesuatu penggal untuk melayakkan pelajar mengikuti pengajian pada penggal yang berikutnya.

Satu kelebihan dalam sistem ini ialah pelajar dibenarkan untuk memperbaiki keputusan peperiksaan akhir Penggal 1 dan/atau Penggal 2 dengan menduduki semula peperiksaan akhir bagi penggal berkenaan pada hujung Penggal 3 (hujung tahun). Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi Penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir Penggal 3, iaitu selepas keputusan Penggal 3 dikeluarkan. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM baharu ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal.

Sistem ini juga diharapkan dapat menjadikan pengajian tingkatan enam lebih menarik dan lebih banyak pelajar akan mengikuti pengajian prauniversiti ini. Selain itu, beban bagi pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperoleh pencapaian yang lebih baik bagi setiap penggal kerana skop pengajian yang dinilai pada setiap penggal adalah pada skala kecil.

Pengenalan kepada PBS dalam sistem ini adalah selari dengan hasrat KPM untuk membangunkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek serta memperluaskan peluang pendidikan kepada semua yang berpotensi. Hal ini juga berketepatan dengan hasrat KPM untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian agar lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil (outcome-based education) yang lebih berfokuskan pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

Dari segi standard dan pengiktirafan, pentaksiran baharu STPM adalah sama dengan STPM sedia ada. Pada umumnya, kandungan kurikulum tidak berubah. Wakil Cambridge Assessment (CA), United Kingdom akan turut serta dalam Jawatankuasa Penetapan Darjah STPM baharu ini bagi penentuan keputusan STPM. Wakil CA ini akan memberikan pandangannya mengenai analisis keputusan peperiksaan STPM baharu bagi setiap kertas, dan membuat keputusan bersama sebagai satu persetujuan dan pengiktirafan. Selain daripada itu, Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia juga telah maklum tentang pelaksanaan Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini.

Pelaksanaan sistem ini diharapkan dapat mengangkat martabat dan memperkasakan pengajian peringkat prauniversiti di tingkatan enam supaya ia lebih berkualiti dan menarik serta dapat mentransformasikan pentaksiran dan penilaian peperiksaan STPM yang lebih holistik.

Dengan pelaksanaan sistem ini akan membolehkan pelajar menyesuaikan diri kepada sistem pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutama dari segi membina kemahiran mengurus diri secara berdikari. Penilaian aktiviti di peringkat sekolah turut membolehkan pelajar menjalankan kajian secara persendirian dan berkumpulan manakala pentaksiran berpusat akan menjurus kepada penyediaan pelajar ke arah sistem pendidikan yang terdapat di IPT.

Sistem pentaksiran yang mesra pelajar ini dihasratkan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki dan meningkatkan keputusan akademik mereka bagi melayakkan diri ke IPT dan membuka luas peluang pendidikan kepada semua warga Malaysia yang berpotensi.

Maklumat lanjut mengenai Sistem Pentaksiran Baharu STPM ini boleh dilayari melalui portal MPM 
 
Share this article :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Company Info | Contact Us | Privacy policy | Term of use | Widget | Advertise with Us | Site map
Copyright © 2011. Kreviewed.com . All Rights Reserved.
Design Template by Kreviewed.com | Support by creating website | Powered by Blogger